Ads 468x60px

Showing posts with label YDP. Show all posts
Showing posts with label YDP. Show all posts

Tuesday, January 3, 2012

Selamat Pulang IPBArian


Apa khabar semua? Harapnya kita semua berada dalam keadaan sihat sejahtera dan berada di bawah payung lindungan Allah SWT. Mungkin pada waktu ini ada yang sedang menghela nafas yang panjang setelah selesai mengemas bilik, “unboxed” barang-barang di dalam kotak, selesai mop lantai dan ada juga yang sedang berfikir “Esok nak pakai baju apa yer?’

Ya, kelas akan bermula esok hari. Sebulan lebih bersama keluarga, sekarang adalah fasa bersama rakan dan pensyarah pula. Boleh dikatakan, sekarang adalah waktu sesuai untuk memanaskan enjin yang mungkin sudah lama tidak berfungsi. Esok adalah harinya. Esok adalah hari untuk kita sama-sama meneruskan misi dan impian kita bersama.

“Rileks lah bro, awal lagi ni.. Kenapa nak semangat2?”

Bukanlah niat di hati ini mahu dikatakan, mula sahaja waktu kelas, semua perlu memandang buku, buku dan buku sahaja. Seperti yang saya katakan tadi, sekarang ialah waktu memanaskan enjin. Memanaskan enjin dalam erti kata lain ialah,membetulkan niat. Niat kita ke sini bukan untuk bersukaria ataupun menghabiskan masa sewenangnya. Kita di sini untuk melatih diri kita menjadi WARGA PENDIDIK yang TERBAIK. Jika bukan yang terbaik di kalangan rakan-rakan sekelas, sekurang-kurangnya kita menjadi PENDIDIK yang TERBAIK untuk diri sendiri.

Di taman ilmu IPBA inilah tempat kita mengaut semua ilmu yang ada, mengeluarkan semua potensi diri kita yang ada. Jika pada tahun 2011 kita hanya menjadi pelajar yang “biasa-biasa” sahaja, tanamkan dalam diri sendiri kita mahu menjadi pelajar yang luar biasa pada tahun 2012 ini. Bukankah sang pujangga pernah berkata, “Mereka yang beruntung adalah hari ini adalah lebih baik dari semalam, hari esok lebih baik dari hari ini:

Paling penting, betulkan niat masing-masing. Lakukan segalanya hanya kerana Allah Ta’ala. Mudah-mudahan segala amalan tidak sia-sia, malah lebih diberkati dan dipermudahkan.

Anda semua adalah individu pilihan, jangan sia-siakan peluang yang ada. Saya bagi pihak Jawatankuasa Perwakilan Pelajar mendoakan agar kita sama-sama beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Selamat Berjuang IPBArian!


-Safwan Fikri Buyamin-

Yang diPertua, Jawatakuasa Perwakilan Pelajar, IPGKBA




Friday, November 18, 2011

Manifestasi Percutian


Tatkala tulisan ini dinukilkan, mungkin kebanyakan daripada kita sedang beristerirehat bersama keluarga tercinta, bermain dengan adik-beradik ataupun sedang sibuk melayari Facebook di rumah masing-masing. Percutian merupakan satu masa yang paling ideal untuk kita berehat setelah berhempas-pulas mengikuti sesi pembelajaran di kampus tercinta, IPGKBA.

Mungkin ada yang sudah membuat perancangan tentang apa yang ingin dibuat ketika bercuti selama kira-kira 6 minggu ini. Jika pernah mengikuti pengajian di luar negara contohnya di benua Australia, pastinya ada di antara kita yang sudah menjelajah ke merata pelosok benua ketika waktu bercuti ini. Mengembara ke bandaraya Sydney untuk menghayati keindahan permandangan Sydney Opera House misalnya, ataupun mencuba keberanian menaiki RolerCoaster Superman Escape di Movie World di Queensland, ataupun sekadar membeli belah di DFO di Southern Cross, Melbourne City. Tidak lupa juga melancong di dalam negeri contohnya melawat pulau Langkawi, Pulau TIoman ataupun Sungai Retang di Pahang.

Segalanya anda boleh lakukan ketika waktu percutian ini. Waktu inilah anda boleh gunakan untuk menambah duit poket membuat kerja sambilan, mencari pengalaman bekerja dan sebagainya. Setidak-tidaknya jika di rumah, menolong ibu dan ayah berkebun ataupun membasuh kereta.

Walau apa pun yang anda lakukan, pastikan anda sematkan niat melakukan segalanya kerana Allah S.W.T. Semuanya akan menjadi satu ibadah dan segala pekerjaan yang anda lakukan tidak akan sia-sia dan mendapat keberkatan. InsyaAllah. Penuhkan aktiviti yang sewajarnya ketika dalam mood bercuti ini agar percutian ini dapat menjadi percutian terindah bagi anda semua.

Saya sebagai wakil dari Jawatankuasa Perwakilan Pelajar ingin mengucapkan selamat bercuti kepada semua warga IPGKBA. Jaga keselamatan diri di mana sahaja anda berada. Semoga kita berjumpa lagi di tahun hadapan dengan harapan dan semangat iltizam bersama keberkatan Tuhan Yang Maha Esa. Salam sayang daripada kami semua.

Safwan Fikri Bin Buyamin

Yang DiPertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, IPGKBA