Ads 468x60px

Friday, August 6, 2010

Hari Ini Dalam Sejarah ( 7 OGOS )

PERLETAKAN BATU ASAS UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Pada hari ini 7.8.1967, perletakkan batu asas Universiti Sains Malaysia telah dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia Tunku Abdul Rahman Al-Haj. Upacara perletakkan batu asas ini merupakan satu daripada hasrat Perdana Menteri untuk menjadikannya sebagai sebahagian daripada sambutan Ulang Tahun Kesepuluh Kemerdekaan Negara. Tunku Abdul Rahman telah menggunakan satu penyeduk simen yang diperbuat daripada emas untuk upacara meletakkan batu asas itu. Penyeduk itu kemudiannya dihadiahkan kepada Tunku. Di dalam ucapannya Tunku telah menyatakan harapannya supaya Universiti Pulau Pinang nanti akan dapat mengadakan dengan segera kuliah di dalam bahasa kebangsaan. Turut sama menyampaikan ucapan di upacara tersebut ialah Menteri Pelajaran Encik Mohd Khir Johari. Beliau telah menyatakan harapannya supaya apabila peruntukan telah diberi, kerja-kerja pembinaan dapatlah dijalankan dengan segera. Mengenai pelajaran-pelajaran yang akan diadakan di Universiti itu nanti Encik Khir menyatakan pertimbangan akan dibuat berdasarkan kepada keperluan negara. Ketua Menteri Pulau Pinang yang turut sama menyampaikan ucapannya telah menyatakan terima kasih kepada Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran kerana memberi keutamaan kepada projek Maktab universiti ini. Kerajaan negeri telah membelanjakan 1.9 juta ringgit lebih untuk tanah dan lain-lain keperluan. Peruntukan kewangan untuk menubuhkan sebuah Institusi pengajian tinggi ini di Pulau Pinang yang pada masa itu disebut sebagai Kolej Universiti telah diumumkan oleh Perdana Menteri pada 8hb. Jun 1967. Sebanyak $25 juta daripada $150 juta pinjaman daripada Jepun telah diluluskan oleh kabinet untuk tujuan tersebut. Langkah-langkah untuk menubuhkan sebuah Universiti di Pulau Pinang ini adalah berikutan dengan laporan Jawatankuasa Perancangan Pelajaran Tinggi yang diterbitkan dalam tahun 1967. Di antara perakuan Jawatankuasa tersebut ialah sebuah Kolej Universiti yang bertempat di Pulau Pinang akan ditubuhkan dan akan bersedia menerima penuntut-penuntut pada tahun 1970. Walaubagaimanapun kerajaan telah memutuskan untuk melangkahi peringkat Kolej Universiti untuk menubuhkan Universiti Kedua di Malaysia dalam tahun 1969 yang dipanggil Universiti Pulau Pinang. Kemudiannya dikenali sebagai Universiti Sains Malaysia.

0 comments:

Post a Comment