Ads 468x60px

Saturday, July 3, 2010

Hari Ini Dalam Sejarah ( 4 Julai )

Perasmian Maktab Perguruan Gaya Sabah

Pada hari ini 4.7.1963 Maktab Perguruan Gaya Sabah telah dibuka dengan rasminya oleh Sir William Goods, Gabenor Inggeris Borneo Utara. Maktab Perguruan yang terletak di kawasan seluas 48 ekar ini adalah yang kedua dibina selepas Maktab Perguruan Kent di Tuaran Sabah. Maktab Perguruan Gaya ini mengadakan kursus khas bagi bakal-bakal guru untuk sekolah-sekolah rendah dan menengah. Kelayakkan minima untuk guru-guru pelatih sekolah rendah ialah Junior Certificate of Sabah atau Sijil yang setaraf. Manakala kelayakkan untuk guru-guru sekolah menengah ialah Sijil Seberang Laut atau Cambridge Oversea Certificate dan lain-lain yang setaraf yang diiktiraf oleh kerajaan. Kursus-kursus yang dijalankan di Maktab ini mengambil masa selama 2 tahun. Kumpulan pertama seramai 83 pelatih dan 6 orang pensyarah telah diambil masuk pada 22hb. April, 1963. Masalah kekurangan guru-guru sekolah di Sabah adalah merupakan faktor pendorong penubuhan Maktab Perguruan Gaya. Sebelum penubuhannya Sabah terpaksa mengambil tenaga-tenaga pengajar asing dari Ceylon, Hong Kong dan Tanah Melayu secara kontrak. Malah ia terpaksa menyediakan kemudahan-kemudahan melanjutkan pelajaran ke luar negeri bagi murid-murid Sabah akibat masalah kekurangan guru. Dengan tertubuhnya Maktab Perguruan Gaya yang dirasmikan pembukaannya hari ini dalam tahun 1963 ia telah dapat meringankan masalah kekurangan guru. Malah ia juga telah memainkan peranan yang penting dalam usaha melahirkan ramai tenaga mahir yang bermutu, berdisiplin dan dedikasi di bidang perguruan. Penubuhan Maktab Gaya amat dihargai oleh rakyat Sabah kerana ia bukan hanya dapat melahirkan guru bermutu tinggi tetapi juga memesatkan pertambahan bilangan sekolah-sekolah di Sabah.

0 comments:

Post a Comment